Selasa, 25 Julai 2017 | 3:04pm

3 lelaki didakwa bunuh remaja

SETIU: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan membunuh seorang remaja di Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut, bulan lalu. 

Tertuduh, Aizz Amidie Aziz, 23; Mohd Rizalman Awang, 27, dan Zahaman Fairol Awang, 30, mengangguk faham sebaik tuduhan dibacakan di depan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.

Ketiga-tiga tertuduh bersama dua yang masih bebas dituduh membunuh Nik Mohamad Sharulanuar Nek Der, 22, di kawasan paya di tanah lapang Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut, antara jam 4.40 petang hingga 5.15 petang, 21 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 13 September depan sebagai sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Besut.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nik Noor Nadzri Nik Soh.

Berita Harian X