Khamis, 27 Julai 2017 | 10:11pm
ZAITON Othman (tengah) diselamatkan pembantu rumahnya, Jannatul Naim Maulid Ahmad (kanan) dalam tragedi kebakaran di Jalan Gunung, petang tadi. - Foto Sharul Hafiz Zam

Selamat nenek uzur

ALOR SETAR: Tindakan pantas seorang pembantu rumah Indonesia menyelamatkan seorang nenek berusia 85 tahun yang sudah uzur dari menjadi mangsa kebakaran di Jalan Gunung petang tadi.

Warga emas terbabit terpaksa menahan bahang panas ketika bilik stor di kawasan belakang rumah bersebelahan tempatnya tidur, marak terbakar.

Zaiton Othman bagaimanapun bernasib baik apabila pembantu rumahnya, Jannatul Naim Maulid Ahmad, 42, bertindak pantas menarik warga emas itu keluar ke tempat selamat ketika api mula menyambar bahagian dinding dapur rumah.

Ketika kejadian, Zaiton yang uzur akibat faktor usia dikatakan sedang tidur di bahagian belakang rumah, manakala Jannatul yang juga warga Indonesia dikatakan berada di dalam bilik air.

Jannatul yang ditemui selepas kejadian berkata ketika kejadian dia terkejut mendengar bunyi cermin tingkap pecah dan terus keluar dari bilik air sebelum ternampak api sedang marak di bahagian dapur rumah.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus memapah nenek yang sedang tidur berhampiran dapur dan letak dia di atas kerusi roda sebelum menolaknya keluar sambil menjerit meminta tolong.

"Ketika kejadian hanya saya dan nenek ada di rumah dan stor lama yang terbakar itu hanya terletak kira-kira dua meter dari belakang rumah, tidak banyak barang disimpan dalam stor kecuali dua motosikal lama yang turut hangus dalam kebakaran itu," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nozlan Zakaria, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya yang menerima panggilan kecemasan jam 4.40 petang bergegas ke lokasi bersama dua jentera dan sebuah lori tangki.

"Api berjaya dikawal daripada merebak dan memusnahkan rumah bersebelahan stor terbabit. Sehingga kini punca kejadian masih disiasat dan kita percaya ia berkemungkinan akibat pembakaran sampah di belakang stor itu yang tidak dikawal," katanya.

Berita Harian X