Rabu, 2 Ogos 2017 | 5:29pm

Doktor palsu ketagih rintihan ibu mengandung

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan negeri mengesan seorang lelaki menyamar sebagai doktor pakar perbidanan dan sakit puan meminta pesakit wanita mengandung melakukan aksi lucah melalui telefon.

Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai doktor Abu Bakar itu akan menghubungi wanita mengandung dan meminta mangsa mengurut payu dara selain membuat senaman dada.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar berkata, lelaki itu memperoleh nombor telefon mangsa terutama ibu mengandung anak sulung daripada jururawat yang bertugas di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Daerah Besut.

"Lelaki itu akan menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai doktor pakar sakit puan dan meminta mangsa mengurut payu dara kononnya untuk tujuan kajian.

"Lelaki itu juga meminta ahli keluarga mangsa menghisap payu dara tanpa mematikan telefon," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Mohammad berkata, kejadian terbaru berlaku ke atas tiga mangsa di daerah Besut Isnin lalu apabila masing-masing menerima panggilan dan meminta mereka melakukan pelbagai aksi lucah tanpa mematikan telefon.

Katanya, lelaki terbabit dipercayai ghairah apabila mendengar suara rintihan mangsa ketika melakukan aksi yang diminta.

Beliau berkata, lelaki terbabit juga bertanyakan mengenai kesihatan pesakit, sebelum memintanya melakukan beberapa aksi lucah, termasuk membuka baju dengan alasan sebahagian daripada proses rawatan.

"Pada mulanya, mangsa tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya akur dengan arahan lelaki terbabit kerana maklumat diberikan lelaki berkenaan tepat.

"Bagaimanapun, mangsa kemudian menyemak dengan pihak hospital apabila mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

"Hasil aduan mangsa, jabatan melakukan siasatan dalaman di klinik perbidanan dan sakit puan dan mendapati mereka sudah memberi maklumat 12 pesakit wanita kepada lelaki berkenaan.

"Jururawat yang bertugas di klinik akur dengan permintaan lelaki itu kerana bimbang dikenakan tindakan jika gagal mematuhi arahan doktor pakar," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohamad berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada semua doktor, jururawat dan petugas di semua hospital serta klinik kesihatan daerah agar tidak mendedahkan maklumat pesakit, kecuali doktor dan pihak pengurusan hospital bagi mengelakkan kejadian berulang.

Berita Harian X