Rabu, 2 Ogos 2017 | 6:29pm
KEADAAN dinding rumah Md Zainuddin Razmi selepas kejadian sebuah kereta merempuh tembok rumahnya yang mengakibatkan anaknya Nurul Ain Farisha meninggal dunia di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Bayi maut dihempap kepingan konkrit

PASIR GUDANG: Seorang bayi berusia tujuh bulan maut ditimpa runtuhan konkrit dinding selepas rumah keluarganya dirempuh kereta di Jalan Mesra 2, Kampung Pasir Putih di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata Nurul Ain Farisha Md Zainuddin cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, kira-kira sejam selepas kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, katanya, mangsa berbaring di ruang tamu manakala ibunya berada di pintu ruang tamu untuk menghantar suaminya bekerja.

"Tiba-tiba, ibu bayi itu melihat sebuah kereta Hyundai Matrix menghampiri rumahnya sebelum meluru ke perkarangan kediaman lalu melanggar melanggar suaminya serta dinding.

"Pelanggaran itu menyebabkan kepingan dinding rumah menghempap mangsa yang berbaring di ruang tamu.

"Mangsa dibawa ke HSI oleh bapanya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 9.45 pagi ketika menerima rawatan di hospital akibat cedera parah di kepala," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, pemandu kenderaan itu sudah membuat laporan polis dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dia dipercayai tertekan pedal minyak sistem automatik itu sebelum sempat menukar gear undur," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X