Khamis, 3 Ogos 2017 | 12:35pm
REMAJA lelaki berusia 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini, atas empat pertuduhan merogol dan mencabul tiga adik perempuannya berusia lapan hingga 14 tahun pada Julai lalu - Foto Muhaamad Hafis Nawawi
REMAJA lelaki berusia 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini, atas empat pertuduhan merogol dan mencabul tiga adik perempuannya berusia lapan hingga 14 tahun pada Julai lalu - Foto Muhaamad Hafis Nawawi

Abang didakwa rogol, cabul 3 adik perempuan

SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat pertuduhan merogol dan mencabul tiga adik perempuannya pada Julai lalu. 

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan membabitkan semua mangsa yang berusia antara lapan hingga 14 tahun, yang dibacakan di hadapan Hakim Saiful Bahari Adzmi, sekali gus meminta dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, remaja itu didakwa merogol adik perempuannya berusia lapan tahun di sebuah rumah dekat Sungai Layar, di sini, pada jam 8 malam 19 Julai lalu.  

Pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama ke atas adiknya berusia 14 tahun di sebuah rumah di sini, pada jam 9 malam 21 April lalu.  

Bagi dua perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan. 

Untuk pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa memasukkan jari ke dalam kemaluan adiknya yang berusia 14 tahun di sebuah rumah dekat Sungai Layar, pada jam 11 pagi 18 Julai lalu. 

Pertuduhan terakhir, dia didakwa atas perbuatan sama ke atas seorang lagi adik perempuannya berusia 10 tahun tiga bulan di lokasi sama pada jam 9 malam 14 Julai lalu. 

Bagi dua perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya J Geeta dan mahkamah menetapkan 5 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu serahan dokumen dan pelantikan peguam bela.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X