Selasa, 8 Ogos 2017 | 3:53pm
KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof menunjukkan sebahagian barang yang dirampas pada sidang media di Kajang, sebentar tadi. - Foto Fariz Iswadi Ismail
KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof menunjukkan sebahagian barang yang dirampas pada sidang media di Kajang, sebentar tadi. - Foto Fariz Iswadi Ismail

2 ditahan selepas samun kedai serbaneka

KAJANG: Tidak sampai sejam menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Anggerik Perdana di sini, dua penyamun ditangkap oleh sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah (RCJ) di situ, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, suspek yang memakai topi keledar berpenutup muka, berbaju panas lengan panjang putih dengan bersenjatakan sebatang kayu masuk ke dalam kedai serbaneka itu dan mengugut seorang pekerja di kaunter pembayaran.

Suspek kemudian mengambil wang tunai dalam mesin wang berjumlah RM30 dan beberapa kotak rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM50 sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha 125z.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata nasib kedua-dua penyamun itu kurang baik apabila terserempak dengan sepasukan anggota yang sedang membuat rondaan jenayah di kawasan terbabit.

"Melihat kedua-dua suspek menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan, anggota polis menahan mereka untuk pemeriksaan.

"Pelbagai jenis rokok ditemui dalam beg sandang salah seorang suspek selain wang RM30 dipercayai hasil samun.

"Semakan lanjut mendapati salah seorang daripadanya mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes memiliki barang curi dan ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya postitif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam sidang media di sini, tadi.

Menurut Ahmad Dzaffir, pihaknya percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurang tujuh kes samun kedai serbaneka di sekitar daerah ini dengan penahanan kedua-dua suspek, masing-masing berusia 18 dan 19 tahun itu.

Katanya, mereka kini direman empat hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun sama.

Berita Harian X