Khamis, 10 Ogos 2017 | 10:49am
ANGGOTA bomba meninjau keadaan pemandu lori yang tersepit dalam kenderaan itu selepas melanggar belakang sebuah lori lain di Kilometer 231 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Rembau, pagi tadi. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat pemandu lori yang tersepit dalam kenderaan itu selepas melanggar belakang sebuah lori lain di Kilometer 231 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat Rembau, pagi tadi. - Foto ihsan Bomba

Pemandu maut, kelindan parah nahas langgar belakang lori

REMBAU: Seorang pemandu lori kontena maut selepas kenderaannya melanggar belakang sebuah lori membawa muatan kayu di Kilometer 232, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat sini, hari ini.

Dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Pedas Linggi pada jam 6.15 pagi itu, Abd Rahim Mohd Baron, 48, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid, berkata sebuah jentera dengan lapan anggota serta pegawai dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Sebaik tiba, kami dapati pemandu serta kelindan lori terbabit yang berusia 38 tahun tersepit di bahagian kepala kenderaan berkenaan yang remuk.

"Kita mengeluarkan kedua-dua mereka dan pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori kontena itu sudah meninggal dunia, manakala kelindan yang cedera segera dihantar ke hospital," katanya di sini, hari ini.

Mayat pemandu lori terbabit dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat.

Berita Harian X