Sabtu, 12 Ogos 2017 | 12:33pm

Lori bawa asid terbalik, lebuh raya sesak

SEREMBAN: Kemalangan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan asid yang terbalik di Kilometer 251.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini, awal pagi tadi, menyebabkan lorong di kedua-dua arah di tempat kejadian ditutup sepenuhnya.

Ini menyebabkan kesesakan teruk, terutama dari arah utara menghampiri Plaza Tol Senawang dan sebelum Plaza Tol Pedas Linggi dari arah selatan.

Mengikut laman sesawang PLUS Malaysia Bhd (PLUS), lorong di kedua-dua arah tempat kejadian terpaksa ditutup dan pengguna dari arah utara ke selatan diminta keluar di Plaza Tol Senawang, manakala dari arah sebaliknya, keluar di Plaza Tol Pedas Linggi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis, berkata kerja pembersihan dan pemindahan bahan kimia yang tumpah di tempat kejadian masih dijalankan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.22 pagi tadi, pemandu lori tangki, Surazru Mohamed Sakeri, 37, maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan dalaman.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Pegawai Bomba Kanan II Zainurin Sharif, berkata empat jentera dengan 20 anggota serta pegawai termasuk pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dihantar ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kita segera mengeluarkan pemandu lori yang membawa 25,000 liter asid itu dan mendapati dia sudah meninggal dunia.

"Dua wanita berusia 30-an, iaitu pemandu dan penumpang kereta yang sebelum itu terbabas di hadapan lori itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini kerana mengadu pening, berkemungkinan akibat terhidu asid," katanya.

KEADAAN lalulintas sesak di Lebuhraya Plus dari Seremban menuju Senawang berikutan anggota bomba giat membersihkan lori yang membawa muatan asid yang terlibat dalam kemalangan di KM 251.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Senawang, menyebabkan pemandunya maut awal pagi tadi. - Foto Hazreen Mohamad

Berita Harian X