Khamis, 17 Ogos 2017 | 8:31pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Diari dedah perbuatan keji teman lelaki ibu

 

KAJANG: Penemuan diari seorang kanak-kanak berusia 12 tahun membongkar nasib malang dirinya yang menjadi mangsa rogol dan cabul oleh teman lelaki ibunya di Kajang Perdana di sini.

Diari itu ditemui ibunya, yang kemudian bertanyakan hal berkenaan kepada mangsa, yang juga anak bongsu daripada dua beradik.

Kanak-kanak itu kemudian menceritakan suspek yang berusia 40 tahun masuk ke biliknya dan merogolnya empat kali bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata ibu mangsa kemudian membuat laporan polis pada 10 Ogos lalu.

"Kita telah terima laporan daripada wanita berkenaan yang berusia 44 tahun yang mendakwa anaknya dicabul dan dirogol oleh teman lelakinya. Laporan menyebut kes cabul berlaku pada awal April ketika pengadu pergi ke China atas urusan kerja.

"Anaknya pula ditinggalkan bersama suspek yang tinggal bersama di rumahnya di Kajang Perdana sejak lima tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, susulan laporan berkenaan pihaknya menahan suspek di Jalan Semenyih, Isnin lalu.

Suspek yang bekerja sebagai pengurus syarikat direman selama enam hari sehingga Ahad ini.

"Siasatan awal mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan dadah ke atas suspek juga negatif," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Berita Harian X