Jumaat, 18 Ogos 2017 | 11:15am
GAMBAR fail pada 21 Julai lalu, Mahkamah Majistret Bahau, menetapkan 18 Ogos ini sebagai tarikh sebutan baharu kes pemandu treler, Norzailan Omar, 44, yang didakwa menyebabkan kematian lapan orang dalam kemalangan di Jempol Bahau, pada 11 Jun lalu. - Foto Adzlan Sidek

Kes pemandu treler ditangguh

BAHAU: Mahkamah Majistret, di sini menetapkan tarikh sebutan baharu bagi kes pemandu treler yang didakwa menyebabkan lapan kematian dalam kemalangan di Jempol, Jun lalu.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, menetapkan tarikh 13 September depan, terhadap Norzailan Omar, 44, selepas menerima permohonan daripada pihak pendakwaan.

Keputusan itu dibuat berikutan pihak pendakwaan masih menunggu laporan kimia kes itu, selain laporan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Majistret turut melanjutkan tempoh jaminan tertuduh sehingga kes itu disebut semula dan tiada pengakuan baharu direkodkan pada prosiding hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam D Anuratha.

Pada 15 Jun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Jelebu.

Norzailan didakwa memandu treler secara berbahaya tanpa mengambil perhatian mengenai segala hal, termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta kesesakan lalu-lintas yang boleh dijangkakan atau mungkin ada sehingga menyebabkan kematian lapan orang pemandu serta penumpang yang menaiki dua kenderaan lain.

Berikutan itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Selain itu, lesennya boleh digantung dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tiga tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian jam 2.20 petang 11 Jun lalu, treler yang dipandu tertuduh, terbabit dalam kemalangan dengan tiga buah kenderaan lain, iaitu Perodua Myvi, Proton Exora dan Toyota Vios di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong di Jempol.

Kemalangan itu menyebabkan lapan orang daripada dua keluarga maut dengan enam daripadanya rentung selepas kereta mereka dihempap treler itu dan terbakar.

Berita Harian X