Jumaat, 18 Ogos 2017 | 9:17pm
BALAK haram ditemui di dua lokasi di Nanga Merama, Sungai Baleh, Kapit, petang semalam.- Foto ihsan PPM
BALAK haram ditemui di dua lokasi di Nanga Merama, Sungai Baleh, Kapit, petang semalam.- Foto ihsan PPM

Balak lebih RM500,000 dirampas di Kapit

KAPIT: Rondaan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya menemui sejumlah kayu balak dipercayai ditebang secara haram di dua lokasi di Nanga Merama, Sungai Baleh, di sini semalam.

Dalam serbuan pertama kira-kira jam 5.30 petang di tempat pengumpulan balak di tebing sungai, pasukan serbuan ketuai Asisten Superintendan Muhammad Sallam Spawi menemui 200 batang balak pelbagai jenis dan saiz.

Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, berkata pemeriksaan lanjut mendapati semua balak berkenaan tidak memiliki cap rasmi JHS.

"Semua balak yang dirampas dianggar bernilai RM240,000," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Salehuddin berkata, pihaknya kemudian menemui satu lagi tempat pengumpulan balak di lokasi berdekatan pada jam 5.55 petang.

"Pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah 433 batang balak tiada cap rasmi JHS. Selepas pengiraan, balak pelbagai jenis dan saiz itu dianggarkan bernilai RM337,500.

"Secara keseluruhan, 633 batang balak haram yang ditemui di dua lokasi itu dianggarkan bernilai RM557,500," katanya.

Salehuddin berkata, laporan polis sudah dibuat dan semua balak yang dirampas diserahkan kepada JHS Kapit untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

Berita Harian X