Sabtu, 19 Ogos 2017 | 2:43pm
HUZIR Mohamed

STAFOC buru suspek tembak mati polis

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menghantar satu pasukan khas ke Kedah bagi membantu siasatan kes tembak mati anggota polis di Changloon, malam tadi.

Tindakan berkenaan juga dilakukan dalam usaha memburu suspek. 

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pasukan terdiri daripada pelbagai elemen JSJ, termasuk Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) sudah dihantar ke utara tanah air awal pagi tadi.

"Setakat ini, saya tidak dapat nyatakan butiran terperinci mengenai penghantaran pasukan khas ke sana (Kedah), namun mereka akan berusaha menjejaki suspek terbabit.

"Selain itu, pihak JSJ masih menunggu laporan dan siasatan yang sedang lagi dijalankan dalam usaha mengenal pasti suspek berkenaan," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti sama ada lelaki berusia 35 tahun yang sedang berbual dengan anggota polis itu, terbabit atau sebaliknya. 

"Pada masa ini, terlalu awal untuk mengesahkan. Individu itu pernah dikenakan sekatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dua tahun lalu," katanya.

Dalam kejadian berkenaan, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, dari Bahagian Jenayah Kongsi Gelap (D7A) Bukit Aman, terbunuh selepas terkena tembakan ketika sedang berbual bersama lelaki berkenaan di sebuah rumah di Taman Sri Hosba, Changloon.

Suspek seorang lelaki dilaporkan datang secara tiba-tiba dan melepaskan tembakan ke arah Abu Hashim.

Polis kemudian menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut. Siasatan pada masa ini, dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

Berita Harian X