Sabtu, 19 Ogos 2017 | 6:34pm
POLIS mengusung mayat mangsa jatuh bangunan di Blok Dua, Api-Api Centre, Kota Kinabalu. Foto ihsan IPD Kota Kinabalu.
POLIS mengusung mayat mangsa jatuh bangunan di Blok Dua, Api-Api Centre, Kota Kinabalu. Foto ihsan IPD Kota Kinabalu.

Khayal gam, jatuh bangunan

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki maut, manakala rakannya cedera terjatuh dari tingkat lapan bangunan Api-Api Centre, di sini, malam tadi, dipercayai khayal selepas menghidu gam.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, mangsa yang maut berumur 15 tahun, manakala rakannya juga seorang remaja lelaki berumur 16 tahun cedera.

Kedua-dua mangsa ditemui oleh pengawal keselamatan di lobi bangunan berkenaan, masing-masing dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dilaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata bagaimanapun remaja berumur 15 tahun itu disahkan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua remaja terbabit dipercayai terjatuh dari bumbung bangunan setinggi lapan tingkat selepas menghidu gam.

"Pemeriksaan lanjut di bahagian bumbung Blok Dua menemui satu plastik berwarna oren berisi tin gam dan satu lagi plastik putih berisi gam.

"Polis turut menemui dua pasang selipar dipercayai milik mangsa," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth Dua (QEH2) dan masih menerima rawatan di Zon Kuning, manakala mangsa yang maut dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk dibedah siasat petang tadi.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kerana tiada unsur jenayah dikesan setakat ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X