Ahad, 20 Ogos 2017 | 11:00am

2 lelaki direman bantu kes bunuh polis

KUBANG PASU: Dua lelaki yang ditahan susulan kes bunuh anggota polis Bukit Aman di Napoh, Changlun dekat sini semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun, untuk membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-dua suspek berusia 30 dan 36 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra, di sini, jam 8.30 pagi untuk permohonan perintah tahanan reman dengan diiringi anggota polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Kubang Pasu.

Dalam kejadian jam 10.25 malam Jumaat lalu, Detektif Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, maut akibat terkena enam das tembakan yang dilepaskan penyerang bersenjata api di sebuah rumah di Taman Seri Hosba, di sini.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan mengunjungi rumah rumah seorang lelaki yang pernah ditahan kerana terbabit dalam kegiatan jenayah penyeludupan di sempadan.

Sehingga kini tiga individu ditahan termasuk lelaki berusia 35 tahun pemilik rumah yang juga saksi utama kejadian.

DUA lelaki yang ditahan susulan kes bunuh seorang anggota polis dari Bukit Aman dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Jitra setelah mendapat perintah tahanan reman. - Foto Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X