Ahad, 20 Ogos 2017 | 12:52pm
TAN Sri Noor Rashid Ibrahim.- Foto Abdullah Yusof

Lebih banyak tangkapan bantu kes polis ditembak

CHANGLUN: Polis tidak menolak kemungkinan membuat beberapa lagi tangkapan susulan penahanan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes anggota polis mati ditembak, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata penahanan tiga suspek berkenaan dipercayai dapat membantu siasatan berhubung motif kejadian.

"Penahanan suspek pertama pada malam kejadian dan dua lagi yang tampil menyerah diri membantu polis meneruskan siasatan.

"Ada kemungkinan beberapa orang lagi akan ditahan selepas ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perbarisan tamat latihan dan penyampaian sijil pelantikan pegawai Kor Suksis Universiti Awam ke-13 2017 di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan kes pembunuhan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, dekat Taman Hosba, Changlun, Kedah, malam kelmarin,

Ditanya sama ada suspek pertama dipasang Peranti Pengawasan Elektronik (EMD), Noor Rashid berkata, suspek pertama pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan memerlukan pemasangan peranti terbabit.

"Selepas dipasang EMD, dia dihantar ke Jitra untuk menjalani pemulihan selain mengehadkan pergerakan di daerah terbabit," katanya.

Berita Harian X