Isnin, 21 Ogos 2017 | 12:16pm
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (dua, kanan) mengambil Modul Integriti ketika menyempurnakan majlis Pelancaran Modul Peningkatan Integriti My Psikologi Spiritual (MyPS) di Bukit Aman hari ini. Turut hadir Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun (kanan) dan Pengarah Jabatan Intergriti Pematuhan Standart (JIPS) Datuk Seri Abd Rahim Hanafi (kiri). - Foto BERNAMA

'Cari kaitan dengan kongsi gelap'

KUALA LUMPUR: Seorang daripada tiga lelaki yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh anggota polis Bukit Aman di Napoh, Changlun, Kedah, pernah menjalani tahanan buang daerah mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pergerakan individu berkenaan dihadkan di sekitar Changlun.

"Dia memang ada di daerah terbabit (Changlun), kediamannya di situ.

"Kita sekat pergerakannya, terhad dalam daerah Changlun," katanya dalam sidang media selepas pelancaran modul peningkatan integriti My Psikologi Spiritual (MyPS) di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Lelaki terbabit pernah dikenakan perintah buang daerah ke Cameron Highlands, Pahang sebelum dibenarkan tinggal di Changlun.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (kanan) bergambar pada majlis Pelancaran Modul Peningkatan Integriti My Psikologi Spiritual (MyPS) di Bukit Aman hari ini. Turut hadir (dari kanan) Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Intergriti Pematuhan Standart (JIPS) Datuk Seri Abd Rahim Hanafi, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dan Timbalan JIPS Datuk Rahim Jaafar. - Foto BERNAMA

Dia juga turut memakai Peranti Pengawasan Elektronik (EMD) bagi memantau dan mengehadkan pergerakan.

Khalid berkata, siasatan terarah kepada mencari kaitan antara tiga lelaki yang direman itu dengan unsur kongsi gelap.

"Polis mempunyai alasan kukuh untuk menyenaraikan dua daripada mereka yang direman itu dalam senarai dikehendaki," katanya.

Dalam kejadian jam 10.25 malam Jumaat lalu, Detektif Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, mati selepas terkena enam das tembakan yang dilepaskan penyerang bersenjata api di sebuah rumah di Taman Seri Hosba, Changlun, Kedah.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan mengunjungi rumah rumah seorang lelaki yang pernah ditahan kerana terbabit dalam kegiatan jenayah penyeludupan di sempadan.

Sehingga kini, tiga individu ditahan termasuk lelaki berusia 35 tahun pemilik rumah yang juga saksi utama kejadian.

ENDS

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X