Selasa, 22 Ogos 2017 | 12:53pm
LELAKI warga Indonesia, Satria Hidayat 23 (kanan), dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merompak dan membunuh majikannya di sebuah kilang papan 5 August lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

PATI bunuh, rompak bekas majikan

SHAH ALAM: Seorang pendatang tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, atas tuduhan membunuh bekas majikannya di sebuah kilang papan di Selayang, 5 Ogos lalu.

Tertuduh, Satria Hidayat, 23, mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, dia yang pernah bekerja di kilang itu didakwa membunuh pemilik kilang Summer Media Sdn Bhd, Tan Kim Poh, 70, antara jam 9 hingga 10 pagi, 5 Ogos lalu.

Perbuatan itu dilakukan di pejabat kilang papan terbabit di Matang Jaya, Kuang, Selayang, antara jam 9 pagi hingga 10 pagi 5 Ogos lalu.

Berikutan itu, tertuduh yang berasal dari Madura didakwa mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam kes berasingan, Satria mengaku bersalah atas tuduhan menetap di negara ini tanpa dokumen sah mengikut Seksyen 6 (c) (1) Akta Imigresen 1959/63.

Berikutan itu, dia dijatuhi hukuman tiga bulan penjara.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amira Haziqah Zulkifli

Majistret menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula serta penyerahan dokumen.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Satria tidak mengaku bersalah atas tuduhan merompak telefon bimbit serta wang tunai RM3,000 milik Kim Poh di waktu dan tempat yang sama.

Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 14 tahun dan denda atau sebatan.

Berita Harian X