Rabu, 23 Ogos 2017 | 3:58pm
DUA lelaki (tengah dan kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Jitra selepas mendapat perintah tahanan reman. - Foto Shahrizal Md Noor

Tembak polis: Dua lagi ditahan

JITRA: Dua lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tembak mati, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail di sebuah rumah di Taman Hosba, Changlun pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid, berkata kedua-dua lelaki berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan berasingan di Changlun dan Bukit Kayu Hitam pada jam 8 dan 10 malam tadi.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra untuk mendapatkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga 28 Ogos.

Sehingga kini, tujuh lelaki sudah ditahan polis untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Abu Hashim, 54, dari Bahagian Jenayah Kongsi Gelap (D7A), Bukit Aman maut selepas ditembak dari arah belakang oleh penyerang yang memanjat tembok di kediaman seorang lelaki yang dikunjunginya.

Serangan terbabit menyebabkan mangsa yang ketika itu sedang berbual dengan lelaki berusia 35 tahun terbabit, terbunuh di tempat kejadian.

Hasil siasatan awal polis di tempat kejadian menemui lima kelongsong peluru dan tiga anak peluru di tempat kejadian.

Berita Harian X