Jumaat, 25 Ogos 2017 | 4:34pm
MIOR Faridalathrash Wahid

Kes bunuh detektif Bukit Aman: 2 lagi individu ditahan

ALOR SETAR: Polis menahan dua lagi individu susulan kes bunuh seorang anggota polis Bukit Aman di Changlun, dekat sini pada Jumaat minggu lalu.

Lelaki berusia 36 dan 37 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Alor Setar dan Jitra petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata ia menjadikan keseluruhan yang ditahan susulan kes itu, sembilan orang.

"Kedua-dua suspek direman seminggu sehingga 31 Ogos ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

"Polis turut mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman suspek pertama berusia 35 tahun selama tujuh hari lagi hingga 1 September ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar, jam 9 pagi sebelum diikuti prosiding tertutup permohonan perintah reman oleh pegawai penyiasat di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Dalam kejadian jam 10.25 malam Jumaat minggu lalu, Detektif Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, dari Bahagian Jenayah Kongsi Gelap (D7A) Bukit Aman, ditembak penyerang bersenjata api di sebuah rumah di Taman Seri Hosba.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan mengunjungi rumah seorang lelaki yang pernah ditahan kerana terbabit dalam kegiatan jenayah penyeludupan di sempadan.

Berita Harian X