Sabtu, 26 Ogos 2017 | 3:10pm

Reman suspek kes bunuh polis disambung

ALOR SETAR: Tempoh tahanan reman dua daripada sembilan suspek kes bunuh seorang detektif polis Bukit Aman di Changlun, dekat sini, Jumaat minggu lalu, disambung empat hari lagi.

Perintah lanjutan tempoh tahanan reman dua beradik berusia 29 dan 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Farah Hazwani Osman, berkuatkuasa hari ini hingga Rabu ini.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap berwarna oren dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi dengan diiringi polis.

Kedua-duanya yang ditahan pada 19 Ogos lalu, sebelum ini direman seminggu dan berakhir hari ini untuk membantu siasatan kes bunuh Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, dari Bahagian Jenayah Kongsi Gelap (D7A) Bukit Aman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan lanjutan reman ke atas dua suspek itu untuk membolehkan pihaknya meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian malam 18 Ogos lalu, Abu Hashim maut terkena empat das tembakan yang dilepaskan dari belakang di sebuah rumah di Taman Hosba di Changlun.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan berbual dengan pemilik rumah terbabit berusia 35 tahun yang turut ditahan untuk membantu siasatan.

Berita Harian X