Selasa, 29 Ogos 2017 | 11:39am
LAPORAN BH pada 3 Jun 2017.

Pindah ke wad biasa selepas 86 hari di ICU

KOTA BHARU: Selepas 86 hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), pelajar tahfiz Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 17, dipindahkan ke wad biasa selepas menunjukkan perkembangan positif.

Anak kedua daripada lima beradik itu yang mesra dipanggil Angah, kini mampu bernafas sendiri berbanding bergantung sepenuhnya kepada bantuan alat pernafasan.

Bapanya, Mohd Izahir Kassim, 49, meluahkan rasa syukur melihat perkembangan anaknya selepas lebih dua bulan berkampung di hospital.

"Walaupun Aidiladha yang bakal disambut Jumaat ini hanya mampu disambut di hospital seperti Aidilfitri, sekurang-kurangnya hati saya lega melihat keadaan Angah.

"Jika sebelum ini saya tertanya-tanya apa kesudahan Angah kerana lebih dua bulan berada di ICU dan menggunakan alat bantuan pernafasan. Namun kini saya lega dan bersyukur selepas dipindahkan ke wad biasa semalam.

"Angah faham apa yang kami sampaikan kepadanya, namun dia tidak boleh bercakap kerana lehernya ditebuk akibat kemalangan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan van yang membawa 12 pelajar tahfiz dan dua guru agama terbabas sebelum merempuh rumah di Kilometer 55 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Kampung Telekong, Kuala Krai menyebabkan tujuh terbunuh.

Dalam kemalangan itu, Muhammad Faiz cedera parah termasuk pendarahan di kepala, kecederaan paru-paru dan patah tulang belakang dikejarkan ke Hospital Kuala Krai sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini untuk rawatan lanjut.

Mengulas lanjut, Mohd Izahir mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terus mendoakan kesihatan anaknya.

Katanya, sejak kejadian itu, dia tidak henti berdoa supaya Muhammad Faiz sembuh seperti sedia kala dan mampu meneruskan pengajiannya.

Berita Harian X