Jumaat, 1 September 2017 | 10:52pm

Enam lelaki samun kedai emas

 

RAWANG: Enam lelaki termasuk yang bersenjatakan sepucuk pistol dan dua tukul besi, merompak sebuah kedai emas di sebuah pusat beli belah dekat Taman Anggun, di sini, hari ini.

 

Suspek yang memakai topeng dan topi keledar itu menyerbu masuk ke kedai terbabit kira-kira jam 6.30 petang, memecahkan empat buah meja pameran dan berjaya melarikan sejumlah barang kemas.

 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata ketika kejadian ada empat orang pekerja dan dua orang pelanggan dalam kedai berkenaan.

 

"Suspek dipercayai enam orang lelaki, datang menaiki tiga buah motosikal jenis Yamaha 125.

 

"Tiga daripada mereka masuk ke kedai dengan bersenjatakan tukul besi dan sepucuk pistol warna hitam sementara yang lain menunggu di motosikal.

 

"Satu das tembakan dilepaskan ke arah siling dipercayai sebagai tembakan amaran, bagaimana pun semua orang yang berada di dalam kedai ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ali berkata siasatan sedang dijalankan dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.

 

"Polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam premis terbabit bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

 

ANTARA meja pameran yang dipecahkan oleh suspek dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Taman Anggun, Rawang.
ANTARA meja pameran yang dipecahkan oleh suspek dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Taman Anggun, Rawang.
Berita Harian X