Sabtu, 2 September 2017 | 8:36pm
ANTARA meja pameran yang dipecahkan oleh suspek dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Taman Anggun, Rawang.
ANTARA meja pameran yang dipecahkan oleh suspek dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Taman Anggun, Rawang.

Samun kedai emas: Polis kenal pasti suspek

GOMBAK: Polis telah mengenal pasti kumpulan yang terbabit dalam kes samun sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat beli belah di Taman Anggun, Rawang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata hasil siasatan, modus operandi kumpulan terbabit telah dikenal pasti membolehkan polis mengenalpasti suspek utama rompakan.

"Selain siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, kita juga telah jalankan siasatan terhadap modus operandi kumpulan suspek terbabit.

"Kita percaya, telah berjaya kenal pasti suspek berdasarkan cara mereka melakukan rompakan, dan kini gerakan untuk memburu penjenayah yang terbabit sedang giat dijalankan," katanya melalui satu kenyataan.

Ali berkata, pihaknya juga telah mendapat maklumat daripada pihak pengurusan kedai emas terbabit mengenai anggaran kerugian yang telah dialami.

"Suspek melarikan pelbagai jenis barang kemas mencecah nilai hampir RM1.5 juta.

"Kita akan meneruskan siasatan dan pemburuan kesemua suspek, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, enam lelaki termasuk seorang yang bersenjatakan sepucuk pistol telah menyamun sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat beli belah di Taman Anggun, Rawang, Selangor.

Ketika kejadian, suspek yang memakai topeng dan topi keledar memecahkan kaca empat meja pameran dan melepaskan satu das tembakan ke siling kedai terbabit

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X