Isnin, 4 September 2017 | 3:48pm
MANGSA, Kamarudin Mamat, 65, yang maut akibat ditendang lembu korban dalam kejadian di Kampung Dusun Durian, Seri Mahligai, Jumaat lalu.

Maut ditendang lembu korban

KUALA KRAI: Seorang warga emas maut akibat ditendang lembu korban ketika cuba mengikat kaki haiwan, pagi Jumaat lalu.

Kejadian berlaku di Kampung Dusun Durian, Seri Mahligai, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi.

Mangsa, Kamarudin Mamat, 65, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman di bahagian dada dan perut.

Isteri mangsa, Che Hasmah Abd Rahman, 59, berkata suaminya menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi ketika dalam perjalanan ke hospital.

Katanya, selepas ditendang, orang ramai membawa suaminya yang dalam keadaan lemah, pulang ke rumah.

"Suami masih sedar dan boleh bercakap. Arwah kemudiannya mengadu sesak nafas dan meninggal dunia dalam perjalanan mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, pada pagi kejadian, arwah yang periang dan banyak bercakap bertukar menjadi seorang pendiam.

"Saya amat terkejut selepas menerima khabar buruk daripada orang kampung . Saya tak sangka perubahan sikapnya itu memberi petanda suami akan tinggalkan kami selama-lamanya.

"Jenazah arwah dikebumikan selepas Maghrib pada hari sama di Tanah Perkuburan Islam Seri Mahligai," katanya yang mempunyai lapan anak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning, berkata tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

Berita Harian X