Selasa, 5 September 2017 | 12:55pm
FAUZAN menunjukkan rakaman CCTV kecurian motosikal di rumahnya di Taman Perumahan Pasir Pekan. - Foto Zaman Huri Isa

Ganjaran RM5,000 kenal pasti pencuri motosikal

TUMPAT: Tidak sampai 10 minit, dua motosikal dilarikan tiga pencuri yang memecah masuk rumah pengasas produk kecantikan D'nars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.48 pagi di Taman Perumahan Pasir Pekan, motosikal milik anak dan adik Faziani lesap dan kerugian dianggarkan RM22,000.

Kejadian itu disedari adik Faziani, Fauzan Rohban Ahmad, 25, yang keluar rumah itu jam 5 pagi tadi untuk ke tempat kerja di Pejabat Kesihatan Gua Musang.

Fauzan berkata, beliau berasa hairan apabila melihat pagar rumah terbuka dan rantai kunci putus malah paling mengejutkan bila menyedari dua daripada empat motosikal yang diletakkan dalam garaj hilang.

"Saya terus memaklumkan kepada ahli keluarga lain dan kami segera melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di perkarangan rumah.

"Daripada rakaman itu terlihat tiga lelaki sedang memunggah dua motosikal jenis Yamaha 125Z manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta jenis Proton Waja berwarna perak," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wakaf Bharu, di sini.

Fauzan berkata, sebelum ini sudah beberapa kali ahli keluarganya ternampak kelibat kereta yang sama mundar mandir di hadapan rumahnya di taman perumahan itu.

Pada April lalu, katanya, cubaan mencuri motosikal turut berlaku di rumah sebelah yang dihuni ibunya dan dipercayai dilakukan kumpulan sama berdasarkan jenis kereta dan kejadian itu disedari pembantu rumah yang sempat menjerit meminta tolong.

Berikutan kejadian itu Faziani menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000 kepada sesiapa yang berjaya mengenal pasti penjenayah terbabit.

Berita Harian X