Rabu, 6 September 2017 | 1:25pm
KEADAAN lori tangki membawa minyak sawit yang terbalik di Jalan Tamparuli - Ranau, berhampiran Kampung Bongol, Tamparuli, Tuaran, pagi tadi. - Foto Recquel Raimi

Lori bawa minyak sawit terbalik

TUARAN: Seorang lelaki tercedera selepas lori tangki membawa minyak sawit yang dipandunya terbalik di Jalan Tamparuli - Ranau, berhampiran Kampung Bongol, Tamparuli, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.35 pagi, mangsa yang berusia 40-an itu patah tangan kanan, dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Tuaran.

Lori berkenaan yang membawa kira-kira 20,000 liter minyak kelapa sawit dipercayai dalam perjalanan ke Kota Kinabalu dari arah Ranau hilang kawalan sebelum terbalik.


KEADAAN pemandu lori tangki membawa minyak sawit yang cedera selepas lori yang dipandunya terbalik di Jalan Tamparuli - Ranau, berhampiran Kampung Bongol, Tamparuli, Tuaran, pagi tadi. - Foto Recquel Raimi

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Qawie Gapar, berkata anggotanya yang tiba pada kira-kira jam 9.30 pagi tadi menjalankan kerja pembersihan minyak.

"Seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi. Pemandu lori berkenaan dikeluarkan orang ramai sebelum dihantar ke hospital dengan ambulans," katanya, di sini, sebentar tadi.

Difahamkan, pemilik syarikat lori terbabit yang berpangkalan di Sepanggar turut dipanggil untuk menampal kebocoran tangki bagi mengelak tumpahan minyak mencemari kawasan lebih luas.

Berita Harian X