Sabtu, 16 September 2017 | 8:07pm
BALAK dan jentera yang dirampas PPM Wilayah 5 di Jalan Nibong Tada- Kanowit, semalam. - Foto ihsan Polis Marin
BALAK dan jentera yang dirampas PPM Wilayah 5 di Jalan Nibong Tada- Kanowit, semalam. - Foto ihsan Polis Marin
ANTARA 336 batang balak dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak dalam serbuan di kawasan pembalakan di Ulu Tuah, Jalan Nibong Tada - Kanowit, semalam.
ANTARA 336 batang balak dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak dalam serbuan di kawasan pembalakan di Ulu Tuah, Jalan Nibong Tada - Kanowit, semalam.

Polis Marin rampas balak

SIBU: Pasukan Polis Marin merampas 336 batang balak dalam serbuan di kawasan pembalakan di Ulu Tuah, Jalan Nibong Tada - Kanowit, semalam.

 

Turut dirampas dalam serbuan sepasukan anggota PPM bersama pegawai penguat kuasa Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) jam 11.45 pagi itu, sebuah lori dan sebuah jengkaut dengan nilai keseluruhan termasuk balak dianggarkan RM597,500.

 

Komander PPM Wilayah Lima Sarawak, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, berkata rampasan dibuat kerana kem pembalakan berkenaan beroperasi secara haram selepas lesennya tamat tempoh tahun lalu.

 

Beliau berkata, rampasan itu dilakukan dalam operasi bersepadu Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara PPM Wilayah Lima bersama Jabatan Hutan Sarawak dan SFC.

 

"Kira-kira jam 11.45 pagi semalam (kelmarin), ketika menjalankan operasi bersepadu, pasukan operasi menemui 336 batang kayu balak pelbagai saiz dan jenis serta sebuah lori balak dan sebuah jentera berat.

 

"Pemeriksaan lanjut oleh SFC mendapati kem pembalakan itu telah tamat tempoh lesen dan beroperasi secara haram. Berikutan itu semua balak dirampas kerana disyaki ditebang secara haram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Salehuddin berkata, satu laporan polis dibuat dan kes itu diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

 

"Kami akan meneruskan kerjasama NBOS bagi membanteras kegiatan pembalakan haram yang menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil untuk membangunkan negeri ini," katanya.

Berita Harian X