Sabtu, 30 September 2017 | 3:02pm
KEADAAN motosikal ditunggangi mangsa selepas kemalangan di Taman Pulai Perdana, Iskandar Puteri tengah malam tadi - Foto ihsan PDRM

Konstabel polis maut motosikal rempuh kereta

ISKANDAR PUTERI: Seorang konstabel polis maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang keluar dari persimpangan secara tiba-tiba di Taman Pulai Perdana di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, Raskhairul Aqil Raszali, 23, maut di tempat kejadian.

Katanya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari bertugas di lokap Balai Polis Skudai dan setibanya di tempat kemalangan, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 merempuh Perodua Myvi yang tiba-tiba keluar dari susur Taman Pulai Perdana dan terus membelok ke kanan.

"Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas bertugas bagi syif jam 4 petang sehingga 11 malam tadi.

"Berdasarkan daripada maklumat, pemandu kereta berusia 20 tahun itu dipercayai mahu membuat pusingan U ketika kejadian. Kejadian berlaku berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Sri Pulai, dekat sini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Hashim berkata, pemandu kereta itu ditahan reman tiga hari bermula hari ini selepas tampil di balai polis berhampiran sejurus selepas kejadian.

"Pemandu mempunyai lesen memandu tetapi kita akan lakukan siasatan lanjut berhubung kejadian ini. Orang awam yang mempunyai maklumat juga dimohon untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan," katanya.

"Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X