Ahad, 1 Oktober 2017 | 2:07pm
SEBAHAGIAN pelayan pelanggan warga Vietnam yang ditahan menerusi Ops Noda di sebuah premis hiburan di Kajang, awal pagi tadi.
KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yusof (kiri) memeriksa dokumen wanita warga asing ketika serbuan Ops Noda di sebuah premis hiburan di Kajang, awal pagi tadi.

9 GRO, 18 pelanggan positif dadah ditahan

KAJANG: Polis menahan sembilan wanita Vietnam, disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) menerusi Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Dataran C180, dekat sini, awal pagi tadi.

Serbuan jam 1.15 pagi itu dilakukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, diketuai Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yusoff, hasil maklumat dan risikan.

Yang turut ditahan, dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh yang menjadi penjaga dan pekerja premis.

Dzaffir berkata, pemeriksaan turut dilakukan ke atas 77 pelanggan, termasuk 14 wanita yang berada di premis itu sebelum saringan air kencing mendapati 17 lelaki dan seorang wanita positif dadah.

"Dalam serbuan itu, kita merampas enam keping resit bayaran, empat unit 'amplifier', masing-masing tiga unit pembesar suara dan televisyen LCD serta wang tunai RM325.

"Polis turut menjumpai satu bungkusan berwarna hijau kuning mengandungi serbuk putih disyaki heroin seberat 23.3 gram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Berita Harian X