Isnin, 2 Oktober 2017 | 1:48pm
SUSPEK yang berusia 35 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu bagi mendapat perintah reman selepas menghina polis di Facebook. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
SUSPEK yang berusia 35 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu bagi mendapat perintah reman selepas menghina polis di Facebook. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Pengawal peribadi direman empat hari

KUALA TERENGGANU: Seorang pengawal peribadi yang membuat kenyataan menghina polis di Facebook kerana mendedahkan gambar suspek dikehendaki, direman empat hari sehingga Khamis depan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Ab Latiff hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 (A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di hadapan tempat letak kereta sebuah flat di Bandar Damai Perdana, Cheras, Kuala Lumpur pada jam 6 petang, semalam.

Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dengan bantuan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman.

Semalam BH melaporkan, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, berkata pihaknya turut merampas sepucuk pistol jenis CZ dan dua kelopak peluru yang setiap satu mengandungi 10 biji peluru serta sebuah telefon bimbit jenis Oppo F1S.

"Suspek memuat naik status menghina dan memaki polis berikutan tindakan polis mendedahkan wajah 30 individu yang paling dikehendaki di negeri ini atas pelbagai kes jenayah termasuk bunuh, cubaan bunuh dan samun sehingga mendatangkan kecederaan pada Selasa lalu," katanya.

Berita Harian X