Jumaat, 6 Oktober 2017 | 11:47am
DUA anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilanjutkan reman tiga hari lagi mulai esok oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung bagi membantu siasatan kes membabitkan kecederaan dua anggota TLDM di Pusat Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
DUA anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilanjutkan reman tiga hari lagi mulai esok oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung bagi membantu siasatan kes membabitkan kecederaan dua anggota TLDM di Pusat Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Reman 2 anggota TLDM disambung

SERI MANJUNG: Reman dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan kerana mencederakan dua anggota lain di Bilik Tahanan TLDM Unit Sungai Wangi dilanjutkan tiga hari lagi sehingga 9 Oktober ini.

Perintah dikeluarkan Majistret Ainul Basyiirah Dona Don Biyajid di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini hari ini.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 29 dan 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan parah dan melakukan ugutan jenayah ke atas kedua-dua mangsa.

Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua suspek tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis bersama beberapa tahanan reman lain dengan memakai pakaian lokap dan keluar semula lebih sejam kemudian.

Kedua-dua mereka sebelum ini ditahan selepas mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sitiawan, pada 1 Oktober lalu akibat dicederakan.

Kedua-dua mangsa kini masih ditempatkan di Bilik Khas 96 Hospital Angkatan Tentera, Lumut.

Esok, tempoh reman membabitkan tiga lagi anggota TLDM yang disiasat mengikut Seksyen 302 KK kerana membunuh dua lagi tahanan lain tamat, manakala reman dua lagi yang turut disiasat mengikut seksyen sama tamat pada Ahad ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata sehingga kini polis sudah menahan tujuh orang kesemuanya bertugas sebagai Pengawal Bilik Tahanan, dengan lima berusia 29 hingga 37 tahun disiasat mengikut Seksyen 302.

Sementara, empat termasuk dua yang disiasat mengikut Seksyen 302, disiasat pula mengikut Seksyen 325/506 kanun sama.

Beliau turut mengesahkan polis sudah mengambil keterangan daripada 35 saksi bagi membantu siasatan kes kematian dua anggota serta kecederaan dua lagi anggota pasukan itu serta merampas 57 barang kes berhubung kesemua kes berkenaan.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dua anggota TLDM meninggal dunia ketika menjalani latihan fizikal di pusat tahanan itu, sebelum dua lagi anggota dimasukkan ke hospital dua hari kemudian akibat kecederaan di perut disyaki didera.

Berita Harian X