Sabtu, 7 Oktober 2017 | 10:57am

Reman tiga suspek TLDM disambung 7 hari lagi

SERI MANJUNG:  Tempoh reman tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh dua anggota lain dalam Bilik Tahanan TLDM Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan minggu lalu, disambung tujuh hari lagi.

Tiga suspek berusia 29, 37 dan 44 tahun itu masing-masing sedang berdepan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK)kerana membunuh.

Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid membenarkan tiga lelaki terbabit dilanjutkan reman masing-masing sehingga 14 Oktober ini.

Ketiga-tiga suspek yang memakai baju lokap warna jingga dan ungu, tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung dengan menaiki trak polis pada jam 8.50 pagi ini, untuk prosiding sambungan reman itu sebelum keluar kira-kira sejam kemudian.

Dalam kejadian 29 September lalu, dua anggota TLDM yang ditahan dalam bilik tahanan berkenaan iaitu Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, mati ekoran pendarahan pada paru-paru dipercayai akibat didera.

Susulan kejadian itu, setakat ini polis sudah menahan tujuh suspek yang bertugas sebagai pengawal bilik tahanan di unit terbabit, dengan lima daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 302 KK.

Dua lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 325/506 KK kerana menyebabkan kecederaan parah serta melakukan ugutan jenayah.

Tempoh reman dua suspek itu akan tamat esok dan polis dijangka memohon lanjutan bagi menerus dan melengkapkan siasatan kes terbabit.

Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilanjutkan reman tujuh hari lagi mulai esok oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung bagi membantu siasatan kes membabitkan dua kematian anggota TLDM di Pusat Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan. - Foto NSTP/Abdullah Yusof
Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilanjutkan reman tujuh hari lagi mulai esok oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung bagi membantu siasatan kes membabitkan dua kematian anggota TLDM di Pusat Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan. - Foto NSTP/Abdullah Yusof
Berita Harian X