Ahad, 8 Oktober 2017 | 10:31am
Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilanjutkan reman tiga hari lagi oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung bagi membantu siasatan kes membabitkan kecederaan dua anggota TLDM di Pusat Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Kes bunuh: Reman dua anggota TLDM dilanjutkan

MANJUNG: Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini melanjutkan tempoh reman dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh dua anggota pasukan itu di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi di Sitiawan pada 29 September lalu.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid yang membenarkan reman ke atas kedua-dua lelaki terbabit dilanjutkan bermula esok sehingga 15 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 31 tahun itu sebelum ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tempoh reman terhadap mereka tamat hari ini.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap tiba di mahkamah kira-kira 8.50 pagi tadi menaiki van polis sebelum dibawa keluar pada jam 9.20 pagi dengan menaiki kenderaan sama.

Dalam kejadian Jumaat minggu lalu, dua anggota TLDM yang ditahan di bilik tahanan berkenaan iaitu Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru dipercayai akibat didera.

Selain itu, dua anggota lain yang cedera masing-masing berusia 30 tahun juga dipercayai didera di pusat tahanan sama kini dirawat di sebuah bilik khas di 96 Hospital Angkatan Tentera Lumut.

Sehingga kini, polis sudah menahan tujuh orang semuanya yang bertugas sebagai pengawal bilik tahanan, dengan lima daripadanya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan kematian dua anggota pasukan itu.

Dua lagi suspek berusia 29 dan 37 tahun ditahan mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan.

Semalam, reman tiga lagi suspek berusia 29, 37 dan 44 tahun yang ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan juga dilanjutkan tujuh hari.

Berita Harian X