Isnin, 9 Oktober 2017 | 5:25pm

Warga emas nak ke masjid disamun

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri warga emas disamun dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau di rumah mereka di Kampung Alor Lintang, hari ini.

Pasangan terbabit kerugian sekitar RM30,000 apabila perompak melarikan pelbagai barang berharga dalam rumah termasuk barang kemas dan komputer riba dalam kejadian jam 5.35 pagi.

Dalam kejadian itu, mangsa seorang pesara guru berusia 69 tahun baru saja menaiki keretanya untuk ke masjid berhampiran sebelum dihampiri dua lelaki bertopeng dan bersentajakan pisau.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hassan, berkata suspek kemudian memegang dan mengikat tangan lelaki berkenaan sebelum meninggalkannya di tepi kereta lalu mengambil kunci rumah mangsa.

Katanya, suspek kemudian masuk ke rumah mangsa sebelum mengikat isteri lelaki terbabit yang berusia 70 tahun dan menggeledah barangan berharga dalam kediaman pasangan warga emas itu.

"Berdasarkan laporan, suspek melarikan barangan berharga milik mangsa antaranya komputer riba, seutas gelang emas dan dua telefon bimbit. Kedua-dua lelaki terbabit turut mengambil wang tunai pasangan berkenaan.

"Bagaimanapun, pasangan berkenaan tidak cedera dan kejadian itu dimaklum kepada anak lelakinya berusia 30 tahun sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Kampung Raja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamsani berkata, usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X