Isnin, 9 Oktober 2017 | 8:36pm
DATUK Seri Idris Haron (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengarah AADK negeri, Mohamad Yusof Kameh (dua dari kanan) sambil diperhatikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar (kiri) pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri peringkat Negeri Melaka di Grand Ballroom, MITC, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

Wajib agenda banteras dadah dalam mesyuarat JKKK

Ayer Keroh: Bermula bulan ini, semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan penduduk serta badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, diwajibkan untuk menjadikan isu dadah sebagai agenda utama dalam mesyuarat bulanan mereka.

 Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata langkah terbabit adalah untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah serta usaha membanteras gejala berkenaan di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengarahkan semua organisasi berkenaan supaya memberi fokus utama kepada agenda terbabit sebagai membuktikan tahap keseriusan kerajaan negeri untuk membasmi gejala dadah yang semakin meruncing.

"Mereka perlu merangka usaha untuk membasmi kegiatan berkaitan dadah di kawasan mereka selain mencari langkah terbaik untuk menyelesaikannya, khususnya di peringkat akar umbi.

"Saya yakin, usaha bersungguh-sungguh ini akan dapat memenuhi sasaran kita untuk menjadikan Melaka sebagai negeri yang bebas dadah," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Perhimpunan yang dihoskan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar; EXCO Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim dan Pengarah AADK negeri, Mohamad Yusof Kameh.

Sementara itu, Mohamad Yusof, berkata sejak tahun 2010, rekod AADK negeri menunjukkan jumlah penagih yang direkodkan adalah seramai 6,810.

"Kami sentiasa memastikan pengekalan kompentasi pada tahap yang optimum supaya semua fasiliti AADK yang terdapat di negeri ini mampu memberi perkhidmatan yang cemerlang dan mengurangkan kadar penagihan dadah di negeri ini.

 "Langkah itu berdasarkan lima objektif iaitu mencecah, merawat, memulihkan penagih, mencegah penagihan semula, membanteras bekalan, pengedaran dan penyelahgunaan dadah serta kerjasama strategi di peringkat antarabangsa," katanya.

INFO

- 6,810 jumlah penagih dadah di Melaka sejak 2010

ends

 

Berita Harian X