Rabu, 11 Oktober 2017 | 2:13pm
TERTUDUH diiringi oleh anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan mencabul anak saudaranya ketika didakwa di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Buruh didakwa cabul anak saudara

AYER KEROH: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencabul anak saudara perempuannya berusia 11 tahun enam bulan, pada Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kekerasan dengan mencabul kanak-kanak perempuan itu dan kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh turut didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Rambai Jaya, Tanjung Minyak, kira-kira jam 1.30 petang, sekitar hujung Mei 2016.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari menawarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan mengenakan syarat tambahan supaya tidak membenarkan tertuduh mendekati mangsa kerana ikatan persaudaraan.

Peguam bela, G Kumaresan mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan rendah kerana anak guamnya bekerja kampung dengan pendapatan RM900 sebulan, selain menanggung ibu bapa dan isteri.

Selepas mendengar hujah dan rayuan, Mohd Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan mengarahkan jaminan ditarik semula jika tertuduh mengganggu dan mengancam mangsa yang juga saksi pendakwaan.

104 dibaca
Berita Harian X