Rabu, 18 Oktober 2017 | 11:51pm
KEADAAN kedai emas dalam sebuah pasar raya besar di Kajang selepas dirompak empat lelaki malam ini.

Empat lelaki rompak kedai emas

KAJANG: Empat lelaki bersenjatakan objek menyerupai sepucuk pistol dan tukul besi merompak sebuah kedai emas dalam pasar raya besar di sini, hari ini.

Suspek yang memakai topi keledar menyerbu masuk ke kedai terbabit jam 8 malam, memecahkan kaca meja pameran dan melarikan 10 dulang barang kemas.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof, berkata dalam kejadian itu, seorang pekerja kedai emas berusia 43 tahun cedera akibat dihentak di kepala dengan objek menyerupai pistol.

"Suspek dipercayai empat orang lelaki, datang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja.

"Mereka kemudian masuk ke kedai dengan bersenjatakan tukul besi dan satu objek yang menyerupai sepucuk pistol," katanya dalam satu kenyataan.

Dzaffir berkata, siasatan sedang dijalankan dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X