Rabu, 25 Oktober 2017 | 5:07pm
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof (dua, kanan) menunjukkan barang rampasan dadah jenis Ganja seberat 429 Gram bernilai RM1,200 dalam dua kes berlainan di Cheras Perdana dan Bandar Baru Bangi pada serbuan Isnin lalu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini. - Foto BERNAMA

Polis cari 5 lelaki kes samun

KAJANG: Polis mengesan lima lelaki yang disyaki terbabit dengan satu kes samun di sebuah restoran mamak dekat Taman Putra Budiman, di sini, pada 18 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof, berkata dalam kejadian itu, pemilik restoran berkenaan cedera di kepala akibat dipukul dengan botol dan suspek dikatakan melarikan RM500 wang hasil jualan.

Susulan kejadian, katanya, polis menahan seorang suspek berusia 40 tahun di Rumah Pangsa Taman Putra Budiman, Balakong, pada Ahad lalu.

"Suspek mengaku memukul mangsa dan berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

Dua lelaki yang dicari polis membabitkan kes samun sebuah restoran mamak di Kajang.

"Bagaimanapun, dia tidak mengaku mengambil wang dan memecahkan barang di restoran berkenaan.

"Suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Dzaffir berkata, siasatan lanjut mendedahkan terdapat lima lagi suspek yang terbabit dalam kejadian itu dengan dua daripada mereka dikenal pasti menerusi pengecaman gambar fotofit dan Facebook.

Bagaimanapun, identiti tiga lagi suspek belum dikenal pasti.

Suspek pertama yang dicari dikenali sebagai Cheong Chee Min, 23, beralamat terakhir di C-3-31 Blok C, Seri Pulao Jalan Balakong Jaya 26, Taman Balakong Jaya dan suspek kedua, R Chandran, 31, beralamat di A-2-18, Taman Seri Pulai, Seri Kembangan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Berita Harian X