Khamis, 26 Oktober 2017 | 9:05pm
DADAH jenis cannabis ditemui di rumah berkenaan dalam serbuan di rumah Taman Bangi Avenue, dekat sini, semalam. - Foto ihsan polis

Dadah: Dua pelajar kolej ditahan

KAJANG: Polis menahan dua pelajar kolej selepas dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bangi Avenue, dekat sini, pada jam kira-kira 7 malam itu, semalam, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Kajang menahan suspek lelaki berusia 19 dan 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah jenis ganja atau dikenali dalam nama saintifiknya kanabis sejak setahun lalu.

"Hasil pemeriksaan terhadap kediaman terbabit pihak kami menemui dua bungkusan aluminium foil yang mengandungi ketulan mampat dedaun kering dipercayai dadah kanabis 23.0 gram yang bernilai RM250 di atas lantai sebuah bilik dalam rumah berkenaan.

"Siasatan awal terhadap suspek mendapati mereka memperolehi bekalan dadah berkenaan melalui seorang kenalan lelaki yang bergerak aktif dalam pengedaran dadah di kawasan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir, berkata dua suspek berkenaan positif dadah kanabis jenis THC dan mereka direman sehingga Ahad ini.

Beliau berkata, polis masih berusaha mencari pengedar berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan juga dikenakan hukuman tiga hingga sembilan sebatan," katanya.

Berita Harian X