Sabtu, 28 Oktober 2017 | 7:45pm
KAKITANGAN SAJ memantau pencemaran ammonia di Rumah Pam Air Mentah Sungai Johor. - Foto Hairul Anuar Rahim
KAKITANGAN SAJ memantau pencemaran ammonia di Rumah Pam Air Mentah Sungai Johor. - Foto Hairul Anuar Rahim

Terkini: 2 juta penduduk terjejas akibat pencemaran ammonia

JOHOR BAHRU: Selepas Loji Rawatan Air (LRA) Semangar, dua lagi iaitu Sungai Johor dan Tai Hong terpaksa ditutup hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan akaun pengguna air terjejas sebanyak 360,000, membabitkan hampir dua juta penduduk.

Semua penduduk terjejas membabitkan pengguna yang mendapatkan bekalan air terawat daripada tiga loji berkenaan iaitu sekitar daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill), Jamaluddin Jamal, berkata kehadiran ammonia yang tinggi di dalam sumber air mentah kini merebak ke dua lagi LRA itu yang menyebabkan ia terpaksa ditutup.

"LRA Semangar babit 160,000 akaun dan dua lagi LRA itu membabitkan masing-masing 170,000 dan 30,000 akaun pengguna air," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Terdahulu, SAJ Ranhill dalam satu kenyataan media di sini, hari ini, berkata,  insiden (penutupan LRA Semangar) lewat malam tadi itu adalah kejadian kali ketiga penemuan amonia dalam sumber air mentah di LRA berkenaan direkodkan sepanjang tahun ini.

"Apabila berlaku penemuan amonia dalam sumber air mentah, SAJ Ranhill tiada pilihan selain menghentikan operasi LRA berkaitan supaya kesan pencemaran bahan kimia berkenaan tidak masuk ke dalam sistem rawatan air bersih sekali gus menganggu kualiti air yang diterima oleh pengguna. 

"Kualiti air yang dibekalkan oleh SAJ Ranhill menjadi keutamaan berikutan piawaian paras ammonia yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu pada paras 1.5 ppm perlu dipatuhi.

"Pihak SAJ Ranhill terpaksa mengambil keputusan untuk tidak merawat air mentah terbabit yang mengandungi kandungan ammonia yang tinggi dan sehingga awal pagi tadi ia mencapai  tahap 2.75 ppm. 

"LRA Semanggar adalah loji utama yang menyalurkan air terawat ke sebahagian besar pengguna di Johor Bahru dan Kulai," katanya. 

Orang ramai yang terbabit dan ingin mendapatkan maklumat lanjut dan ingin mendapatkan bantuan bekalan air boleh menghubungi SAJ Info Centre di talian 1800 88 7474.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X