Jumaat, 3 November 2017 | 7:28am
RUMAH warga tua di PPRT Kampung Rhu Tapai yang musnah terbakar malam tadi. - Foto ihsan Bomba

Tak sempat berpantang di rumah keluarga

PERMAISURI: Hasrat seorang wanita sarat mengandung untuk bersalin dan berpantang di rumah ibu bapanya musnah selepas kediaman mereka hangus dalam kebakaran malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 7 malam itu menyebabkan lima sekeluarga termasuk wanita hamil itu hilang tempat tinggal selepas kediaman di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Rhu Tapai, di sini, musnah terbakar.

Jiran mangsa, Azman Mohamed Salleh, 45, berkata api marak dengan cepat tetapi mujur pemilik rumah, Abdul Rahman Mamat, 63, isterinya serta anak yang sarat mengandung sempat menyelamatkan diri.

"Dua lagi anak lelakinya keluar bekerja ketika kejadian," katanya ketika dihubungi.

Azman berkata, lebih menyedihkan pagi semalam dia menemani Abdul Rahman ke pejabat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memohon bantuan warga emas.

"Tidak sangka sama sekali malam ini musibah menimpa diri mereka sekeluarga.

"Anak mangsa berusia lingkungan 20-an yang sedang sarat mengandung itu balik ke kampung untuk bersalin dan berpantang di rumah ibu bapanya," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Jusoh, berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.10 malam dan tiba di lokasi jam 7.30 malam.

Katanya, dua jentera bomba dikejarkan ke lokasi dengan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu serta lapan dari BBP Kuala Nerus.

"Rumah papan yang mempunyai tiga bilik itu hangus kira-kira 95 peratus dan operasi memadamkan kebakaran selesai jam 8.35 malam.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X