Rabu, 8 November 2017 | 1:57pm
KEADAAN motosikal yang musnah dalam kebakaran disyaki angkara perbuatan khianat di pangsapuri Taman Cheras Utama, Kajang, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba
KEADAAN motosikal yang musnah dalam kebakaran disyaki angkara perbuatan khianat di pangsapuri Taman Cheras Utama, Kajang, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

15 motosikal, kereta terbakar angkara khianat

KAJANG: Kira-kira 15 motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, musnah dalam kebakaran disyaki angkara perbuatan khianat di pangsapuri Taman Cheras Utama di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima panggilan daripada orang awam, pada jam 1.40 pagi memaklumkan perkara terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof, berkata kebakaran itu disedari seorang saksi yang ingin ke tempat kerja sebelum terdengar jeritan api.

"Sebaik terdengar jeritan itu, saksi bergegas ke tempat letak kenderaan yang terletak di bawah pangsapuri terbabit sebelum melihat api sedang marak membakar kira-kira 15 motosikal.

KEADAAN pacuan empat roda yang musnah dalam kebakaran disyaki angkara perbuatan khianat di pangsapuri Taman Cheras Utama, Kajang, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba
KEADAAN pacuan empat roda yang musnah dalam kebakaran disyaki angkara perbuatan khianat di pangsapuri Taman Cheras Utama, Kajang, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

"Saksi bergegas menghubungi bomba untuk bantuan memadamkan kebakaran serta melaporkan kepada balai polis Bandar Damai Perdana," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzaffir Mohd Yussof berkata, siasatan lanjut polis di lokasi kejadian mendapati sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda turut terbakar.

"Selain polis, pasukan Forensik Bomba Zon Langat yang turut menjalankan di lokasi menjumpai  sebiji botol kaca kosong yang mempunyai bau minyak tanah.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran. Anjing Pengesan (K9) bomba turut membantu mengesan bukti di tempat kejadian,"katanya.

Setakat ini, lima laporan polis dibuat pemilik motosikal yang terbabit dalam kebakaran itu yang disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.

 

 

Berita Harian X