Ahad, 12 November 2017 | 9:55am

'SPM pun belum habis...'

KAMPUNG GAJAH: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara tiga pelajar ditahan polis selepas dipercayai terbabit penyalahgunaan dadah dalam Ops Tapis/Ops Bersepadu di Kampung Sungai Jejawi dekat sini, semalam.

Dalam operasi jam 1.10 pagi itu, tiga remaja lelaki terbabit ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata serbuan di tepi sebuah rumah kampung berkenaan menemui seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dipercayai penagih dadah.

"Suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan namun dapat ditangkap.

"Pemeriksaan lanjut ke atas remaja itu membawa kepada penemuan sepaket plastik berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 1.54 gram di kocek hadapan seluarnya," katanya di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, remaja itu tidak mempunyai rekod kes lampau manakala ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamin dan ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya, polis turut menahan dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun di lokasi sama pada jam 1.15 pagi namun tiada dadah ditemui bersama mereka.

"Kedua-dua remaja itu tidak mempunyai rekod lampau namun didapati positif methamphetamine hasil ujian air kencing dan ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Beliau berkata, remaja berusia 17 tahun yang sedang menduduki SPM itu memberi alasan tertekan menyebabkan dia menagih.

Berita Harian X