Rabu, 15 November 2017 | 4:53pm
SURIANI Ghani, 40, maut selepas kereta Proton Waja yang dipandunya dirempuh sebuah van di Kilometer 132, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Meraga Beris Kijal. - Foto Rosli Ilham

Ibu maut, dua anak cedera kemalangan

CHUKAI: Seorang ibu maut, manakala dua anaknya cedera selepas kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah van di Kilometer 132 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, dekat Meraga Beris di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.05 pagi itu, Suriani Ghani, 40, dari Kampung Darat Kijal di sini, yang memandu kereta berkenaan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Dua anaknya, Nurin Amira Farhana Muhammad Hamzah, 17, yang duduk bersebelahan cedera di tangan kanan, manakala Nuryn Eliesa Farhana Muhammad Hamzah, 12, cedera di bahagian kepala.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Waja dipandu Suriani keluar dari simpang di situ, sebelum dirempuh sebuah van dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu.

Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk teruk.

Pemandu van TOYOTA Hiace berusia 21 tahun yang juga sukarelawan Aman Palestin cawangan Kuantan, Pahang yang berasal dari Sungai Isap Perdana, Kuantan, mengalami kecederaan di bahagian mulut.

Penumpang van terbabit berusia 27 tahun dari Kampung Paya Berenjut, di sini, mengalami gegaran otak dan pendarahan di mulut.

Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, mangsa yang maut dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut, manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian," katanya.

86 dibaca
Berita Harian X