Khamis, 16 November 2017 | 2:18pm

Bekas polis mengaku bersalah cabul remaja lelaki

PETRA JAYA: Seorang bekas anggota polis mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuching, di sini hari ini, atas dua pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki, 4 September lalu.

Tertuduh Fazlie Zainuddin, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah.

Bagaimanapun, hukuman ditangguhkan pada 15 Disember ini selepas tertuduh mendakwa tidak waras sebaik pertuduhan dibaca untuk kali kedua.

Dayang Ellyn Narisa kemudian mengarahkan tertuduh menjalani pemantauan psikiatri di Hospital Kota Sentosa selama sebulan bermula hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal itu dituduh menyentuh dada mangsa di kawasan pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak antara jam 2 hingga 3 petang, 4 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa yang sama di hadapan Paragon Mall di Batu Kawa, antara jam 3 hingga 4 petang, hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara setahun selepas mengaku bersalah atas  kesalahan pemalsuan dokumen pada 21 September lalu.

ANGGOTA polis mengiringi tertuduh yang didakwa atas dua pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki, 4 September lalu di Mahkamah Sesyen Kuching.- Foto Jannah Kho
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh yang didakwa atas dua pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki, 4 September lalu di Mahkamah Sesyen Kuching.- Foto Jannah Kho
Berita Harian X