Jumaat, 17 November 2017 | 3:41pm
TUMPAHAN sebanyak 14,000 liter diesel berikutan sebuah lori tangki minyak terbabas dan terbalik di Kilometer 111.1 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Yong Peng, dekat sini, menyebabkan kesesakan lebih lima jam tengah malam tadi. - Foto Ihsan Bomba

14,000 liter diesel tumpah, sesak 5 jam

BATU PAHAT: Tumpahan sebanyak 14,000 liter diesel selepas sebuah lori tangki minyak terbabas dan terbalik di Kilometer 111.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Yong Peng, dekat sini, menyebabkan kesesakan lebih lima jam, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.54 malam itu, lori tangki minyak yang membawa 32,000 liter produk petroleum itu terbabas sebelum terbalik merentang laluan lebuhraya berkenaan.

Pemandu dan kelindan lori tangki minyak itu yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk rawatan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Mohd Asroy Mohd Yahya, berkata operasi menyelamat dijalankan membabitkan seramai 14 anggota bomba serta lima jentera termasuk tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Ayer Hitam, Penggaram, Kluang dan Johor Bahru.

"Pihak bomba terpaksa menutup laluan di kedua-duanya dua arah selama lebih lima jam berikutan bimbang berlaku kebakaran atau letupan susulan lori tangki minyak itu terbalik menyebabkan sebanyak 14,000 liter petroleum tumpah di atas lebuhraya berkenaan.

"Pasukan bomba dan penyelamat juga bertungkus lumus melakukan pemindahan baki produk petroleum itu ke lori baharu selain kerja pembersihan tumpahan sebelum membenarkan laluan bersebelahan menghala ke utara dibuka sebagai laluan kontra kira-kira jam 4.30 pagi tadi berikutan berlaku kes kecemasan ambulans membawa wanita yang mahu melahirkan anak.

"Kerja pemindahan baki produk petroleum, pembersihan tumpahan serta pengalihan lori tangki minyak yang merentang lebuhraya itu selesai tujuh jam kemudian kira-kira jam 7.15 pagi tadi, " katanya ketika dihubungi.

13 dibaca
Berita Harian X