Jumaat, 17 November 2017 | 3:58pm
SEBAHAGIAN ahli keluarga Lim Bu Kwang, 43, hadir di Mahkamah Sesyen Klang hari ini, didakwa atas tuduhan membunuh Ooi Swan Hong @ Ng Swan Foong. - Foto Faiz Anuar

Peniaga mi udang didakwa bunuh ibu mentua

KLANG: Seorang peniaga mi udang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan membunuh ibu mentuanya di Taman Teluk Pulai, di sini, bulan lalu.

Lim Bu Kwang, 43, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membunuh Ooi Swan Hong @ Ng Swan Foong, 70, di sebuah rumah di Taman Teluk Pulai, di sini, pada pagi antara 25 Oktober hingga 28 Oktober lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Bu Kwang selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi pagi tadi.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang diwakili peguam Gerard Lazarus dan Ethan Tan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Timbalan Pendakwa Raya, Amira Abdul Aziz, memberi tahu mahkamah pihak pendakwaan masih menunggu laporan patologi, forensik, kimia dan bedah siasat sebelum Rozianti menetapkan 18 Disember ini sebagai tarikh sebutan kes.

Sebelum ini media melaporkan Bu Kwan dipercayai memukul mangsa beberapa kali. Mangsa kemudian meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Sebelum itu, pada 28 Oktober lalu, Swan Hong dikejarkan ke HTAR selepas keadaannya semakin serius dan meninggal dunia pada jam 9.40 pagi pada 3 November lalu.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian Swan Hong adalah akibat trauma benda tumpul.

Kejadian itu diketahui pihak berkuasa selepas anak tiri Swan Hong yang berusia 36 tahun, membuat laporan polis terhadap suaminya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, dilaporkan berkata, anak tiri mangsa takut untuk mendedahkan perbuatan itu selepas diugut bunuh oleh suaminya.

Berita Harian X