Jumaat, 17 November 2017 | 4:09pm

Pengedar dadah antara 14 ditahan

TELUK INTAN: Seorang pengedar dadah berusia 30 tahun antara 14 penagih yang ditahan dalam serbuan dalam ladang kelapa sawit di sini, petang semalam.

Serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bermula pada jam 1 tengah hari dan berakhir lima jam kemudian, menahan semua suspek berusia antara 25 hingga 47 tahun.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata hasil maklumat orang awam, pihaknya menjalankan serbuan ke tempat berkenaan, dipercayai dijadikan sarang penagihan dadah.

"Dalam serbuan itu, 'tokan' (pengedar) dadah yang ditahan dipercayai memiliki pelbagai jenis dadah, direman selama enam hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita percaya pengedar itu menggunakan alat walkie-talkie untuk berhubung dengan seorang lagi rakannya bagi mengawal jual beli dadah mereka dalam ladang itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, antara yang dirampas ialah 13 gram dadah jenis methamphetamine, tiga gram ganja dan 26 gram dadah jenis heroin bernilai bernilai RM4,225 dan polis turut merampas sebuah motosikal dan alat komunikasi walkie-talkie yang dipercayai digunakan di ladang berkenaan.

Marzukhi berkata, 12 daripada 14 suspek yang ditahan dalam serbuan itu mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek didapati positif morfin.

Katanya, semakan mendapati, lapan daripada semua suspek ditahan dipercayai terbabit dalam kes mencuri buah kelapa sawit sekitar bandar Teluk Intan.

Sementara itu dalam kes berasingan, Marzukhi berkata, seorang pengganggur berusia lewat 40-an ditahan di pekarangan rumahnya di Chenderong Balai, dekat sini kerana memiliki 76.5 kilogram (kg) daun ketum kelmarin.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, enam beg plastik mengandungi daun ketum dianggarkan bernilai RM2,695 yang dirampas itu dipercayai untuk dijual ke luar kawasan.

"Suspek ditahan ketika sedang memasukkan beg plastik daun ketum ke dalam keretanya dan kita percaya suspek telah tiga bulan menjalankan jualan daun ketum berkenaan. Bbagaimanapun, lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya.

Berita Harian X