Ahad, 19 November 2017 | 11:47am
SEORANG pejalan kaki maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Tuaran berhampiran bulatan Bandar Siera, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu.
SEORANG pejalan kaki maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Tuaran berhampiran bulatan Bandar Siera, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu.

Pejalan kaki maut dipercayai dilanggar lari

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga tempatan maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dipercayai dalam kejadian langgar lari di Jalan Tuaran berhampiran bulatan Bandar Siera, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, Norman Alludin, 29, dipercayai cuba melintas jalan di kawasan terbabit sebelum dirempuh pemandu kereta jenis Proton Preve.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk dan hancur di bahagian bawah badan.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata pemandu kenderaan terbabit terus melarikan diri sejurus kemalangan itu tanpa membuat laporan polis.

Chandra berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pejalan kaki yang melintas tanpa menyedari kehadiran kenderaan selain sikap tidak bertanggungjawab pemilik kenderaan.

"Bagaimanapun, kita menemui nombor pendaftaran di atas jalan raya dan dipercayai ia milik kenderaan yang terbabit dalam kes ini.

"Kita mengenal pasti jenis kenderaan berkenaan berdasarkan nombor pendaftaran itu melalui pemeriksaan jaringan trafik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.

Chandra berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang mengetahui atau menyaksikan kejadian itu supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan di balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan maut.

Berita Harian X