Isnin, 20 November 2017 | 4:22pm
SUPERINTENDAN Nanda Maarof.- Foto EIzairi Shamsudin
SUPERINTENDAN Nanda Maarof.- Foto EIzairi Shamsudin

Wadar ditahan kes dera anak rakan sekerja

ARAU: Seorang wadar ditahan selepas disyaki mendera budak lelaki 22 bulan, yang juga anak rakan sekerjanya di sebuah rumah di Mata Ayer, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat daripada Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, mengenai kesan lebam pada muka dan telinga kanak-kanak itu yang dipercayai kesan akibat didera.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Nanda Maarof, berkata siasatan awal mendapati kes berlaku ketika mangsa dalam jagaan suspek antara Sabtu lalu hingga pagi semalam.

"Ibu kanak-kanak itu menghantar mangsa yang juga anak bongsunya kepada suspek Sabtu lalu.

"Ibu mangsa dikatakan mengenali suspek sejak 10 tahun lalu dan bersetuju menyerahkan anaknya itu kepada suspek kerana dia bertugas syif malam.

"Wanita berusia 37 tahun itu hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya keesokan harinya selepas menemui kesan lebam pada bahagian muka, belakang badan dan telinga semasa mangsa dihantar pulang ke rumah oleh suspek," katanya ketika dihubungi di sini.

Ditanya mengenai kesan berkenaan, suspek dikatakan memberi alasan ia kesan kecederaan akibat bayi itu terjatuh ketika tidur.

Ibu mangsa yang curiga dengan jawapan itu menghantar anak bongsunya ke HTF untuk rawatan.

"Berdasarkan laporan perubatan, mangsa lebam di muka, telinga dan belakang badan, ...selain itu, ada juga pendarahan nipis di bahagian belakang. Mangsa kini masih ditahan di wad pediatrik untuk pemerhatian serta rawatan susulan.

"Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016)," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X